Institut Latihan Sektor Awam Negeri (INSAN) ditubuhkan pada 1 Julai 2002 sebagai sebuah organisasi yang berusaha menterjemahkan hasrat Pembangunan Modal Insan yang terkandung dalam Agenda “Re-Inventing Government (RG) Initiatives”.  Sebelum ini, Latihan Sektor Awam Negeri telah diletakkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab yang dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat. 

Dalam agenda awal “RG Initiatives”, keperluan Pembangunan Modal Insan telah dikenal pasti tentang perlunya pendekatan baharu yang menekankan Pembelajaran, Latihan dan Pembangunan Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri yang sejajar dengan Agenda Transformasi Perkhidmatan Awam Negeri ”RG Initiatives”.  Dengan ini, Kerajaan Negeri telah memperkenankan satu Agenda Perdana Perkhidmatan Awam Negeri, iaitu “Training for the Future” yang disimpulkan dalam Pembangunan Modal Insan “Succession Planning and Management Programmes”.  Program ini merupakan Agenda Pembangunan Kepimpinan Sektor Awam Negeri pada Peringkat Kepimpinan Kanan, Pengurus Pertengahan, dan Pengurusan Barisan Hadapan.  Selanjutnya, Program Pembangunan Modal Insan berteraskan pembangunan kompetensi ini meliputi Program Pembelajaran, Latihan dan Pembangunan Lapisan Sokongan Perkhidmatan Awam Negeri.

Bagi merealisasikan hasrat  “Training for the Future”,  Mesyuarat Setiausaha Tetap  pada Mac 2001 telah memperakukan penerimaan dan menegaskan perlunya rencana tersebut dilaksanakan.  Dengan ini, pada 01 Julai 2002, Kerajaan Negeri telah memutuskan supaya INSAN diwujudkan untuk melaksanakan mandat dalam Agenda Perdana Pembangunan Kepimpinan Perkhidmatan Awam Negeri dan bertanggungjawab kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Pada tahun 2020, INSAN diputuskan dengan rasminya berada di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN).